Wednesday 19 December 2012

Membela Rasulullah SAW



Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang menciptakan segala apa yang ada di langit dan di bumi serta segala yang berada antara keduanya. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Rasulullah dan para sahabat. Allahumma Sholli a’laih wasallam wa a’la aalihi washohbihi ajmain.
Sebagai umat Islam, kita sedar bahawa kita meyakini bahawa Allah SWT telah mengutuskan kekasihNya Nabi Muhammad SAW sebagai utusan untuk menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia. Berdasarkan sirah baginda Rasulullah sendiri kita mampu melihat betapa sosok tubuh insan yang agong ini telah melalui jerit perih perjuangan untuk menyampaikan Islam kepada manusia.
Jelas terkandung di dalam sirah yang sarat dengan pelbagai peristiwa berbentuk peperangan, membentuk perundangan, persahabatan, kekeluargaan dan pembinaan masyarakat yang bersendikan syariat daripada Allah SWT. Melalui kisah-kisah dan peristiwa yang ada, hati kita pasti tersentuh dengan kecekalan dan kesabaran Baginda Rasulullah SAW untuk kekal istiqamah dalam menyebarkan ajaran Islam kepada manusia meskipun berhadapan dengan tentangan yang tidak pernah terhenti.
Pasti ramai yang sedia maklum bagaimana Rasulullah pernah dibaling dengan batu oleh penduduk Taif sewaktu Baginda berdakwah di sana. Sehinggakan malaikat Jibril menawarkan kepada Baginda untuk membalikkan bukit ke atas bumi Taif. Akan tetapi atas keluhuran pekerti Baginda, Rasulullah sebaliknya menghalang Jibril daripada berbuat demikian dan mengharapkan agar generasi Taif yang seterusnya akan beriman kepada Allah dan Rasulnya.
Kita juga pasti mengetahui satu peristiwa yang berlakuk ke atas Baginda semasa peperangan uhud. Semas hiruk pikuk peperangan dengan golongan musyrikin setelah kumpulan pemanah di Bukit Uhud mengingkari perintah Baginda, pihak musuh telah berjaya menyerang Baginda sehingga menyebabkan patah gigi Baginda. Sehinggakan para sahabat terpaksa melindungi Baginda daripada terus diserang. Pihak musuh pula cuba melunturkan semangat tentera Islam dengan menyatakan bahawa Nabi Muhammad telah mati.
Sewaktu di Mekah lagi Baginda telah menghadapi tentangan dan sikap kurang ajar daripada Abu Jahal dan konco-konconya. Diceritakan bahawa pernah satu ketika saat Rasulullah sedang sujud, Uqbah bin Abi Muit telah bertindak meletakkan najis unta di atas belakang Baginda. Baginda hanya bangkit semula setelah puteri Baginda iaitu Siti Fatimah datang untuk membuang najis tersebut.
Begitu banyak lagi kisah perjuangan yang dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah kepada manusia agar beriman dan menyembah Allah SWT. Hati yang membaca pasti tersentuh dengan ketabahan Baginda menghadapi segala rintangan tersebut dengan tenang dan istiqamah.
Akan tetapi, apa yang berlaku baru-baru ini agak mendukacitakan. Tindakan yang dikira agak melampau dan tidak menjaga sensitivity masyarakat oleh beberapa individu anti-Islam. Penerbitan filem “Innocent of Muslim” yang terkandung di dalamnya babak berbentuk penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima. Golongan seperti ini wajar dikritik dengan sekerasnya. Umat Islam secara seluruhnya perlu menunjukkan solidariti untuk menentang penghinaan yang tidak bertanggungjawab ini. Usaha beberapa pihak yang mengadakan himpuna pada hari Jumaat yang lalu di beberapa masjid terpilih sebagai menunjukkan kecintaan kita pada Rasulullah dan kemarahan kepada pihak yang terlibat merupakan satu tindakan yang wajar dipuji serta disokong.
Semua pimpinan Negara Islam di seluruh dunia perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengkritik secara terbukan tindakan individu yang terbabit. Desakan yang dilakukan oleh Presiden Mesir iaitu Dr Morsi yang mendesak kerajaan Amerika Syarikat mengambil tindakan kepada semua individu yang terlibat dalam pembikinan filem tersebut wajar diikuti oleh semua pemimpin di Negara Islam yang lain termasuk di Malaysia.
Seluruh umat Islam juga patut memainkan peranan masing-masing untuk menangkis semula salah faham yang disebarkan daripada filem tersebut. Medium seperti penulisan, video dan infografik wajar dimanfaatkan sebaiknya untuk menangani isu sebegini. Umat Islam tidak seharusnya memandang enteng kejadian sebegini. Kecintaan dan kasih kita kepada Rasulullah SAW wajar diterjemahkan ke dalam amali dan praktikal yang mampu memberi kesan dan impak kepada masyarakat.
Namun begitu, satu perkara yang harus diingati oleh setiap individu muslim agar menjaga batas-batas yang sepatutnya dalam mengkritik atau menentang. Tindakan membunuh pegawai kedutaan Amerika yang berlaku di Libya merupakan satu perkara yang tidak menepati prinsip Islam. Umat Islam wajar menunjukkan cara yang baik dalam melontarkan bantahan dan penentangan terhadap isu sebegini kerana inilah cara yang lebih dekat dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri.
By: muizz ismail

No comments:

Post a Comment